Khamis, 17 Jun 2010

Francais...adakah anda mesti memilihnya?

Ramai yang terpesona bila francais diperkatakan atau sekurang - kurangnya berminat untuk memilikinya. Sebelum anda memohon untuk francais, perlulah diteliti beberapa perkara. Kebiasaannya mereka yang ingin memohon francais gagal meneliti atau pun mempertimbangkan perkara - perkara ini, dan akhirnya perniagaan mereka tidak berjaya. Kegagalan anda mempertimbangkannya adalah merupakan kegagalan anda yang pertama sebelum memulakan perniagaan.

Apakah perkara - perkara tersebut. Saya akan mengetengahkan beberapa perkara pokok sahaja dan selebihnya perlulah anda sendiri menelusurinya. Perkara - perkara tersebut ialah :

1. Tujuan anda berniaga.
Anda berniaga semestinya inginkan keuntungan. Tiada individu yang berniaga hanya untuk mendapat kerugian. Perlu diingat, bahawa francais tidak semestinya membawa keuntungan dan jaminan keuntungan berterusan.Ini kerana keuntungan bukannya terletak kepada faktor francais semata - mata tetapi banyak faktor perlu diambil kira dan diberi perhatian.

2. Jenis perniagaan yang dipilih.
Bentuk perniagaan yang dipilih adalah menentukan arah perjalanan perniagaan anda. Sebaiknya perniagaan yang dijalankan hendaklah dalam lingkungan kemahiran dan pengetahuan anda. Sekiranya memilih francais, pastikan perniagaan tersebut hanya boleh didapati melalui sistem francais sahaja. Sekiranya perniagaan tersebut juga boleh dijalankan tanpa melalui sistem francais, maka pemilihan yang dibuat tidak tepat. Contoh, francais kaca mata tidak diperlukan oleh anda memandangkan perniagaan kaca mata boleh dilakukan tanpa perlu melalui sistem francais. Dengan kos RM250k untuk memulakan francais kaca mata, amatlah tidak masuk akal memandangkan perniagaan tersebut boleh dimulakan dengan hanya bermodalkan RM60K hingga RM100k sahaja.

3. Pengurusan francais.
Sekiranya anda ingin menggunakan francais sebagai landasan perniagaan anda, anda perlu mengkaji sistem pengurusan yang dijalankan oleh francaisor. Jangan mudah tertipu dengan kemashyuran nama francaisor atau juga dengan banyaknya bilangan premis perniagaan tersebut. Anda perlu mendapatkan maklumat - maklumat dalaman berkenaan pengurusannya. Cara terbaik ialah bertanyakan kepada individu yang telah menggunakan sistem francais tersebut. Kedapatan pemegang - pemegang francais diabaikan kerana kelemahan pengurusan francaisor. Ini yang perlu dielakkan oleh mereka yang ingin memilih francais sebagai landasan perniagaan.

4. Terma dan syarat francais.
Terma dan syarat yang dikemukakan oleh francaisor perlu diteliti dengan sebaiknya. Perkara - perkara berkenaan dengan promosi dan maintanance perlu dibincangkan dengan lebih teliti. Ini kerana faktor promosi adalah penting bagi memperkenalkan sesuatu premis perniagaan. Promosi yang dijalan umpama melepaskan batuk ditangga hendaklah dielakkan. Faktor maintanance juga perlu diberi perhatian. Kebiasaannya, kerosakan yang berlaku mengambil masa yang panjang oleh francaisor untuk membetulkannya. Ini akan menjejaskan perniagaan tersebut.

5. Barangan yang dibekalkan.
Barangan yang dibekalkan perlu diteliti daripada segi kualiti dan harganya. Ini kerana barangan tersebutlah yang akan diniagakan dipremis perniagaan. Sekiranya barangan yang dibekalkan rendah kualitinya dan harganya pula tinggi, maka perniagaan tersebut tidak akan bertahan lama. Pengguna akan beralih ke premis perniagaan yang lain. Akhirnya, perniagaan anda akan rugi dan anda akan menanggung hutang pinjaman perniagaan berseorangan kerana francaisor tidak bertanggungjawab untuk itu.



Oleh itu, sebelum memilih untuk francais lihatlah dengan sebaiknya kerana pengamatan yang tajam akan menjernihkan masa depan.

Sabtu, 22 Mei 2010

Negara Islam Malaysia Menghalalkan Judi...

Bila saja isu judi timbul, maka tergiang - gianglah lagu "Gila Judi" nyanyian Dato' M. Daud Kilau di telinga. Lagu ini amat menarik iramanya dan penuh dengan sindiran dan pengajaran. Cuma adakah pendengar yang mendengarnya memahami maksudnya atau sekadar mendengar sebuah lagi lagu yang dikeudarakan untuk halwa telinga.

Bila isu ini timbul dan mula panas saya mula menelusuri beberapa rencana yang ditulis oleh pelbagai sumber. Saya baca dan baca dan baca lagi sehingga dapatlah saya membuat beberapa rumusan. Rumusan - rumusan tersebut akan saya kongsikan bersama pembaca budiman semua agar saudara saudari dapat pula menjana minda dan seterusnya membuat pula hipotesis bagi isu ini.

Saya akan menyenaraikan hipotesis yang diperolehi beserta huraiannya. Tanpa huraian, saya bimbang pelbagai tafsiran akan dilontarkan dan akhirnya kekusutan bertambah.

1. Ceteknya iman dan besarnya nafsu.
2. Mata duitan
3. Penggunaan logikal akal melampau
4. Penyelesaian masalah berpilih

Jumaat, 21 Mei 2010

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kaca Mata

Penglihatan adalah anugerah Allah dan penglihatan juga adalah anugerah terbesar yang Maha Pencipta berikan kepada makhluknya.Setiap makhluk yang diciptakan yang dianugerahi penglihatan, semestinya memahami, mengurus serta menjaganya dengan sempurna kerana hilangnya penglihatan bermakna hilanglah separuh kenikmatan yang Allah berikan.

Bagi mengurus serta menjaga penglihatan supaya sentiasa dapat berfungsi dengan baik, pengguna perlu memahami keperluan penjagaan mata dan bagaiman hubungan kaca mata dengan mata itu sendiri. Di sini saya akan paparkan beberapa tip yang difikirkan perlu kepada pengguna dalam mengurus serta memastikan kelangsungan penglihatan mereka.

Tip Penjagaan Mata
1. Elakkan mata daripada terdedah kepada kelampauan cahaya.
2. Hindarkan terdedah terlalu lama kepada cahaya monitor komputer.
3. Sentiasa pastikan mata tidak terdedah kepada partikal halus dan tajam.
4. Sentiasa memakai kaca mata hitam apabila terdedah kepada cahaya yang melampau.
5. Elakkan daripada menggosok mata serta menekan - nekan mata.
6. Perlu menggunakan kaca mata yang sesuai sekiranya mata menghadapi masalah.
7. Pastikan kesihatan sentiasa terjaga dengan memastikan mendapat tidur yang cukup.
8. Alat penapisan cahaya bagi alatan komputer perlu dipasang.
9. Memastikan kadar cahaya yang diperlukan mencukupi apabila membaca.
10.Sentiasa dapatkan nasihat daripada pakar mata.

Bagaimana memilih kaca mata yang sesuai.
Kaca mata merupakan alat bantuan bagi memastikan kelangsungan penglihatan. Kaca mata yang sesuai amat penting bagi memenuhi keperluan penglihatan dan kesesuaian pemakaian. Kaca mata terdiri daripada bingkai dan kanta yang merupakan bahagian utamanya. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk kaca mata dalam pasaran.Ada kaca mata untuk fesyen, untuk keperluan membaca dan sebagainya. Kepelbagaian jenis dan bentuk ini perlu diberi perhatian oleh pengguna yang bijak supaya tidak tertipu dengannya. Oleh itu, pengguna perlu memberi pertimbangan - pertimbangan tertentu sebelum membuat keputusan untuk memiliki kaca mata bagi memenuhi penglihatan keperluan.

Tip - tip memilih kaca mata dan kanta.

Jumaat, 19 Februari 2010

STADIUM LELONGAN HAIWAN...SATU KEPERLUAN

Apa itu stadium lelongan haiwan ? Stadium ini ada satu tempat di mana haiwan - haiwan dilelong dan dijual secara terbuka dan bersistem. Mengapa dipanggil stadium ? Sebab perlunya ruang yang luas dan bentuknya hendaklah seperti stadium bola...haiwan yang dilelong dan dijual berada ditengah - tengahnya.
Apa komen anda...sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan stadium lelongan ini, pasti saya akan menyambung penulisan saya ini berkenaannya...

Ahad, 21 Jun 2009

Kerajaan Perpaduan Dan Perpaduan Melayu...Satu Penilaian

Isu yang paling hangat di dada akhbar dan kaca televisyen adalah berkenaan Kerajaan Perpaduan. Ada yang menerima dan sedia menerima tetapi juga ada juga yang menentang idea pembentukan Kerajaan Perpaduan. Apa pun alasan dan hujah, masing - masing mempunyai fakta dan pengalaman tersendiri berkenaan cadangan Kerajaan Perpaduan.


Bagi Mursyidul Am Pas, pengalaman ketika bersama kerajaan campuran dengan BN ( UMNO ) satu ketika dahulu sudah cukup memberikan satu sentuhan pahit dan pengajaran yang membentuk arah pemikiran dan gaya tindakan beliau dewasa ini. Ada benarnya reaksi yang ditunjukkan sedemikian. Pas pernah bersama Umno dan kemudiannya dihalau keluar dari pakatan tersebut. Bagi mereka yang pernah melalui era itu, kesannya cukup menyentuh lubuk pemikiran sehingga membentuk gaya pemikiran dan tindakan yang tidak terjangkakan.


Sekiranya diamati dengan mendalam, perkataan perpaduan itu sudah cukup memberikan satu harapan kepada perpaduan bangsa Melayu. Perkataan keramat yang tidak pernah bangsa Melayu zahirkannya kepada dunia. Melayu sememangnya tidak pernah bersatu meskipun ada segolongan sejarahwan berhujah bersatunya Melayu pada menuntut kemerdekaan negara.Fakta yang disandarkan kepada kesepakatan golongan aristokrat dalam mencorak dan menjaga kepentingan mereka.Dan pada pendapat saya, itu bukan kesepaduan atau pun perpaduan sebenar.


Satu persoalan kerap berlegar - legar dalam kepala saya, Mengapa hanya sekarang BN ( Umno ) bersedia untuk duduk semeja dan berbincang dengan Pas sedangkan sebelum ini tidak pernah bersahut pun seruan itu.Mengapa Pas yang sedang menuju kepuncak politiknya dalam sejarah bangsa mahukan perpaduan dengan Umno. Persoalan - persoalan ini perlu dirungkaikan sebelum kita semua membuat keputusan yang seterusnya. Satu persoalan yang begitu menarik untuk dirungkaikan jawapannya.


Tidak sukar untuk meneka mengapa Umno bersedia duduk semeja dengan Pas memandangkan pengembala kambing pun boleh memberikan jawapannya.Tetapi yang menjadi persoalannya mengapa seseorang yang sedang menang dalam pertarungannya mencadangkan untuk berdamai sedang peperangan itu tidak dimulakannya.Sepatutnya Pas memastikan kemenangan dahulu kemudian barulah boleh menawarkan kepada Umno untuk bergabung dan bersatu padu dengan mereka.Ini barulah boleh dikatakan bersatu dengan ikhlas kerana mereka sedang berada dipuncak kuasa dan bersedia merendah diri untuk perpaduan bukannya seperti apa yang berlaku sekarang.
Dari segi politik, adalah tidak bijak untuk duduk semeja memandangkan 'kuasa tekanan' tidak berada dalam genggaman.Mengapa pemimpin tertinggi Pas bertindak sedemikian menjadi satu persoalan. Ini kerana mustahil pemimpin Pas tidak sedar dengan tindakan mereka menyerah dikala kemenangan hanya selangkah perjalanan saja.Atau mungkin ada tekanan dan agenda - agenda tertentu yang biasa terjadi dalam politik tanah air iaitu peranan golongan 'belakang tabir'. Satu lagi persoalan yang cukup menarik untuk dirungkaikan.

Khamis, 7 Mei 2009

Sejarah...bagaimana harus dimulai.

Sudah terlalu lama sejarah bangsa dibiarkan hanyut tanpa haluan. Syukur kerana kedapatan khabar yang mahukan sejarah bangsa dipelajari semula. Memang sebelum ini pun sejarah bangsa dipelajari tetapi dalam bentuk ceraian dan cebisan - cebisan yang tidak dapat memberikan impak yang mendalam terhadap anak - anak didik. Sejarah, bagaimana harus dimulai. Para pemikir bangsa mestilah melihat dengan mendalam sebelum memberikan pengetahuan tentang sejarah bangsa Malaysia kepada anak - anak. Janganlah penilaian sejarah itu mempunyai kepentingan - kepentingan tertentu yang akhirnya menyebabkan sejarah bangsa Malaysia itu terpesong daripada kebenarannya. Sejarah mestilah berdasarkan fakta kerana sejarah tanpa fakta umpama cerita tanpa asas yang mana kebanyakannya akan menyentuh sensitviti tertentu. Apa pun, sejarah tetap sejarah yang mesti dipelajari dengan kebenarannya tanpa dipesong - pesong.
Sejarah bangsa Malaysia mestilah dirujuk kepada sejarah penemuan Tanah Melayu lagi. Kependudukan asalnya dan perkembangannya. Tidaklah tepat sekiranya sejarah bangsa Malaysia dimulakan pada Kesultanan Melayu Melaka sahaja. Tidakkah sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka itu, telah ada bangsa - bangsa lain yang menghuni Tanah Melayu dan membangunkannya dalam ruang lingkup pembangunan tradisonal mereka. Perkampungan - perkampungan kecil nelayan dan sebagainya. Sejarah mestilah dimulai dari zaman itu lagi.
Sejarah pemerintahan Kesultanan Melayu juga mestilah dimulai dengan asal ujudnya Sultan dan Raja Melayu itu sendiri. Bagaimana sistem ini terbentuk dan mengapa ianya terbentuk. Biarlah anak - anak didik kita mampu mengenal sedalam - dalamnya perihal Kesultanan Melayu dan pemerintahannya. Siapa sebenarnya Raja - Raja Melayu dan mengapa mesti mereka menghormatinya. Dalam situasi sekarang, anak - anak didik tidak kira Melayu atau bukan Melayu tidak mengenali pemerintah mereka dengan sebaiknya. Ini kerana kegagalan dasar dalam memastikan sejarah bangsa difahami dan dihayati oleh anak - anak didik. Tidak menjadi satu kepelikan sekiranya anak - anak didik berlaku kurang ajar terhadap pemerintah kerana kegagalan dasar yang dilaksanakan tadi.
Apabila berkisah tentang sejarah tidak dapat dikecualikan ialah nilai - nilai adat dan budaya Melayu yang terkandung dalam persejarahan tadi. Mengapa nilai - nilai dan adat - adat ini saya timbulkan. Ini kerana nilai - nilai dan adat - adat inilah yang memastikan sistem Kesultanan dan Kerajaan Melayu menjadi utuh. Sekiranya nilai - nilai dan adat - adat ini diabaikan, maka sejarah bangsa Malaysia tidak akan memberikan apa - apa kesan untuk dipelajari. Nilai - nilai dan adat - adat yang terkandung dalam sejarah bangsa Malaysia itulah yang menjadi inti kepada ke semua pengamalan dan perilaku bangsa Melayu dan Malaysia itu sendiri.
Apakah nilai - nilai dan adat - adat itu ? Terlalu banyak dan tidak terhitung. Saya akan menghuraikan satu nilai dan adat yang mungkin kebanyakan daripada kita merasakan ianya tidak penting. Apa pun lihat, fikir dan buat keputusan anda...Anda yang menentukannya sendiri.
Adat bersama orang tua...Bagaimana kita mempraktikkannya sekarang...Sewajarnya apabila bersama individu yang lebih tua umurnya atau berpangkat, kita seharusnya menghormati mereka. Bagaimana ? Sekiranya mereka berada di kerusi sewajarnya kita berada di bawah, lebih rendah kedudukan daripada mereka atau pun kita berdiri sahaja dengan penuh hormat. Jangan sekali - kali duduk tanpa dijemput. Mungkin tergelak rasanya membaca apa yang saya kata itu tetapi cuba kita lihat semula daripada sudut lain pula. Dengan mempraktikkan nilai dan adat sedemikian, individu terbabit telah melatih dirinya untuk menghormati dan menanam di dalam dirinya nilai rendah diri. Nilai inilah yang menjadi pendinding baginya untuk tidak melakukan perkara - perkara yang boleh menyebabkan kerosakan kepada individu lain. Sekiranya nilai dan adat sebegini ditanam dan diasuh diperingkat kanak - kanak lagi, saya cukup berkeyakinan masalah - masalah sosial boleh diatasi. Ini hanya satu daripada adat dan nilai yang boleh membentuk individu supaya taat dan menyanyangi individu selainnya.
Renunglah, Perhalusilah dan Tetapkanlah di manakah kita. Adakah kita akan hanyut bersama arus kebebasan dan sama taraf hingga yang tua dan muda adalah sama. Tidak ada perbezaan melainkan umur sahaja atau kebebasan itu dan persamaan itu ada batasannya dalam lingkungan adat dan nilai - nilai yang perlu dihayati dan diamalikan.

Ahad, 26 April 2009

Kenangan...Identiti Yang Hilang

Terdengar khabar di sebalik banjaran sana kenangan lampau bakal bergema. Kenangan pahit manis yang sengaja dilupakan untuk sekian lama. Mengapa yang dilupakan diungkit - ungkit. Adakah ajaran nenek moyang terasa benarnya setelah diri terluka kecewa. Tak mengapa, tak salah, untuk mengenangkan kembali perjalanan lampau, sesungguhnya kenanganlah yang mengajar dan memberikan semangat untuk terus mara mengisi ruang - ruang yang belum terisi.

Aku tersentak dari lamunan. Kenangan ini bakal mengisi ruang kosong darah dagingku. Mereka kekosongan. Mereka perlukan pengisian. Pengisian tentang kenangan lampau yang membentuk peribadi nenek moyang mereka. Ayahanda dan bonda mereka. Terlalu berbeda sifir dan zikirnya. Masih mengenang kenangan lampau. Yang dengan itu meletakkan kehidupan pada tingkat ini. Anak - anak ku, kelak kamu dipaparkan kenangan nenek moyang kamu janganlah kamu mencerca, menghina, mencemuh kerana cercaan, hinaan, serta cemuhan itu akan hanya melukakan kamu sendiri. Kenangan itu adalah kenangan nenek moyang kamu. Yang dengannya berdiri kamu. Yang dengannya terzahir kamu. Yang dengannya kamu mengisi ruang sempadan waktu antara lampau dan kini.

Anak - anak ku. Jadikanlah kenangan nenek moyang kamu sebagai sebahagian daripada kenangan perjalanan hidup kamu. Kenangan pahit manis. Isikan antara kenangan itu detik - detik indah. Keindahan yang menjadi pujaan dan impian semua kita. Biarkan kepahitan kenangan nenek moyang menjadi pendinding buat kamu mencipta kenangan kamu sendiri. Ingatlah anak - anak ku, keindahan tidak bisa terzahir tanpa ada kepahitan sebelumnya. Terkadang keindahan yang lahir tanpa kepahitan umpama gula tanpa manisnya. Zahirnya manis dalamnya hambar. Kenangan nenek moyang sewajarnya dikenang - kenang. Biarlah mengenal kita nenek moyang biarpun hanya dalam kenangan. Kenangan yang bakal ku miliki setelah sekian lama dirampas.