Khamis, 7 Mei 2009

Sejarah...bagaimana harus dimulai.

Sudah terlalu lama sejarah bangsa dibiarkan hanyut tanpa haluan. Syukur kerana kedapatan khabar yang mahukan sejarah bangsa dipelajari semula. Memang sebelum ini pun sejarah bangsa dipelajari tetapi dalam bentuk ceraian dan cebisan - cebisan yang tidak dapat memberikan impak yang mendalam terhadap anak - anak didik. Sejarah, bagaimana harus dimulai. Para pemikir bangsa mestilah melihat dengan mendalam sebelum memberikan pengetahuan tentang sejarah bangsa Malaysia kepada anak - anak. Janganlah penilaian sejarah itu mempunyai kepentingan - kepentingan tertentu yang akhirnya menyebabkan sejarah bangsa Malaysia itu terpesong daripada kebenarannya. Sejarah mestilah berdasarkan fakta kerana sejarah tanpa fakta umpama cerita tanpa asas yang mana kebanyakannya akan menyentuh sensitviti tertentu. Apa pun, sejarah tetap sejarah yang mesti dipelajari dengan kebenarannya tanpa dipesong - pesong.
Sejarah bangsa Malaysia mestilah dirujuk kepada sejarah penemuan Tanah Melayu lagi. Kependudukan asalnya dan perkembangannya. Tidaklah tepat sekiranya sejarah bangsa Malaysia dimulakan pada Kesultanan Melayu Melaka sahaja. Tidakkah sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka itu, telah ada bangsa - bangsa lain yang menghuni Tanah Melayu dan membangunkannya dalam ruang lingkup pembangunan tradisonal mereka. Perkampungan - perkampungan kecil nelayan dan sebagainya. Sejarah mestilah dimulai dari zaman itu lagi.
Sejarah pemerintahan Kesultanan Melayu juga mestilah dimulai dengan asal ujudnya Sultan dan Raja Melayu itu sendiri. Bagaimana sistem ini terbentuk dan mengapa ianya terbentuk. Biarlah anak - anak didik kita mampu mengenal sedalam - dalamnya perihal Kesultanan Melayu dan pemerintahannya. Siapa sebenarnya Raja - Raja Melayu dan mengapa mesti mereka menghormatinya. Dalam situasi sekarang, anak - anak didik tidak kira Melayu atau bukan Melayu tidak mengenali pemerintah mereka dengan sebaiknya. Ini kerana kegagalan dasar dalam memastikan sejarah bangsa difahami dan dihayati oleh anak - anak didik. Tidak menjadi satu kepelikan sekiranya anak - anak didik berlaku kurang ajar terhadap pemerintah kerana kegagalan dasar yang dilaksanakan tadi.
Apabila berkisah tentang sejarah tidak dapat dikecualikan ialah nilai - nilai adat dan budaya Melayu yang terkandung dalam persejarahan tadi. Mengapa nilai - nilai dan adat - adat ini saya timbulkan. Ini kerana nilai - nilai dan adat - adat inilah yang memastikan sistem Kesultanan dan Kerajaan Melayu menjadi utuh. Sekiranya nilai - nilai dan adat - adat ini diabaikan, maka sejarah bangsa Malaysia tidak akan memberikan apa - apa kesan untuk dipelajari. Nilai - nilai dan adat - adat yang terkandung dalam sejarah bangsa Malaysia itulah yang menjadi inti kepada ke semua pengamalan dan perilaku bangsa Melayu dan Malaysia itu sendiri.
Apakah nilai - nilai dan adat - adat itu ? Terlalu banyak dan tidak terhitung. Saya akan menghuraikan satu nilai dan adat yang mungkin kebanyakan daripada kita merasakan ianya tidak penting. Apa pun lihat, fikir dan buat keputusan anda...Anda yang menentukannya sendiri.
Adat bersama orang tua...Bagaimana kita mempraktikkannya sekarang...Sewajarnya apabila bersama individu yang lebih tua umurnya atau berpangkat, kita seharusnya menghormati mereka. Bagaimana ? Sekiranya mereka berada di kerusi sewajarnya kita berada di bawah, lebih rendah kedudukan daripada mereka atau pun kita berdiri sahaja dengan penuh hormat. Jangan sekali - kali duduk tanpa dijemput. Mungkin tergelak rasanya membaca apa yang saya kata itu tetapi cuba kita lihat semula daripada sudut lain pula. Dengan mempraktikkan nilai dan adat sedemikian, individu terbabit telah melatih dirinya untuk menghormati dan menanam di dalam dirinya nilai rendah diri. Nilai inilah yang menjadi pendinding baginya untuk tidak melakukan perkara - perkara yang boleh menyebabkan kerosakan kepada individu lain. Sekiranya nilai dan adat sebegini ditanam dan diasuh diperingkat kanak - kanak lagi, saya cukup berkeyakinan masalah - masalah sosial boleh diatasi. Ini hanya satu daripada adat dan nilai yang boleh membentuk individu supaya taat dan menyanyangi individu selainnya.
Renunglah, Perhalusilah dan Tetapkanlah di manakah kita. Adakah kita akan hanyut bersama arus kebebasan dan sama taraf hingga yang tua dan muda adalah sama. Tidak ada perbezaan melainkan umur sahaja atau kebebasan itu dan persamaan itu ada batasannya dalam lingkungan adat dan nilai - nilai yang perlu dihayati dan diamalikan.