Ahad, 26 April 2009

Kenangan...Identiti Yang Hilang

Terdengar khabar di sebalik banjaran sana kenangan lampau bakal bergema. Kenangan pahit manis yang sengaja dilupakan untuk sekian lama. Mengapa yang dilupakan diungkit - ungkit. Adakah ajaran nenek moyang terasa benarnya setelah diri terluka kecewa. Tak mengapa, tak salah, untuk mengenangkan kembali perjalanan lampau, sesungguhnya kenanganlah yang mengajar dan memberikan semangat untuk terus mara mengisi ruang - ruang yang belum terisi.

Aku tersentak dari lamunan. Kenangan ini bakal mengisi ruang kosong darah dagingku. Mereka kekosongan. Mereka perlukan pengisian. Pengisian tentang kenangan lampau yang membentuk peribadi nenek moyang mereka. Ayahanda dan bonda mereka. Terlalu berbeda sifir dan zikirnya. Masih mengenang kenangan lampau. Yang dengan itu meletakkan kehidupan pada tingkat ini. Anak - anak ku, kelak kamu dipaparkan kenangan nenek moyang kamu janganlah kamu mencerca, menghina, mencemuh kerana cercaan, hinaan, serta cemuhan itu akan hanya melukakan kamu sendiri. Kenangan itu adalah kenangan nenek moyang kamu. Yang dengannya berdiri kamu. Yang dengannya terzahir kamu. Yang dengannya kamu mengisi ruang sempadan waktu antara lampau dan kini.

Anak - anak ku. Jadikanlah kenangan nenek moyang kamu sebagai sebahagian daripada kenangan perjalanan hidup kamu. Kenangan pahit manis. Isikan antara kenangan itu detik - detik indah. Keindahan yang menjadi pujaan dan impian semua kita. Biarkan kepahitan kenangan nenek moyang menjadi pendinding buat kamu mencipta kenangan kamu sendiri. Ingatlah anak - anak ku, keindahan tidak bisa terzahir tanpa ada kepahitan sebelumnya. Terkadang keindahan yang lahir tanpa kepahitan umpama gula tanpa manisnya. Zahirnya manis dalamnya hambar. Kenangan nenek moyang sewajarnya dikenang - kenang. Biarlah mengenal kita nenek moyang biarpun hanya dalam kenangan. Kenangan yang bakal ku miliki setelah sekian lama dirampas.

Rabu, 15 April 2009

Berubahlah atau Anda Bakal Rebah !!!

Begitulah kata - kata yang dilemparkan oleh mereka yang mendokong dan juga yang menentang pemerintahan Barisan Nasional. Ada kelogikan dan kewajaran yang perlu diberi perhatian di sebalik hamburan kata - kata tersebut. Mungkin kerana telah muak dengan telatah dan aksi - aksi Barisan Nasional atau kerana terlalu menyanyangi Barisan Nasional atau UMNo khususnya. Semua terletak pada tafsiran pembaca. Apa pun, reaksi rakyat telah diterjemahkan dan hasilnya telah pun dimaklumi semua. Terpulang kepada Perdana Menteri baru...Berubahlah atau Anda Bakal Rebah !!!
Apa yang menyebabkan reaksi rakyat yang keterlaluan sebegitu. Pastinya para pemimpin dan pendokong Barisan Nasional atau UMNo khususnya sedia memakluminya, namun atas sebab - sebab kepentingan peribadi segala rungutan dan kekhuatiran rakyat dipandang dengan mata penglihatan yang buta. Walhasilnya, segala onar dan nanah yang terpekung di dada telah pecah dengan sendirinya selepas pilihanraya 2008. Onar dan nanah yang sekian lama disembunyikan akhirnya pecah meleleh dengan bau yang amat busuk sekali. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.
Kekuasaan yang selama ini dipegang dan didakapi sudah menunjukkan tanda akan sampai ke penghujungnya. Mungkin kenyataan ini amat menghiris untuk dibaca tetapi sepahit - pahitnya terpaksa jua ditelan. Di mana silapnya sampai terpaksa rebah menyungkur bumi. Semuanya ketentuan Allah S.W.T. Mungkin antara kita berpendapat, semuanya kerana salah perancangan dan strategi namun hakikatnya tidak begitu. Setiap yang berlaku mempunyai sebab dan akibat. Sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran, sewajibnya menggunakan akal dan fikiran tersebut sebelum bertindak.
Penggunaan akal dan fikiran yang cetek telah berlaku tatkala Parti Islam Semalaysia mula mengambilalih tampuk pemerintahan negeri Kelantan. Pelbagai berita dan khabar yang disebarkan oleh media yang mendokong Barisan Nasional bagi memburukkan pemerintahan Parti Islam Semalaysia di negeri Kelantan yang ternyata palsu. Pendekatan perancang strategik UMNo bagi melumpuhkan pemerintahan Parti Islam Semalaysia di negeri Kelantan telah menyebabkan mereka semakin ditinggalkan jauh ke belakang. Sokongan terhadap Parti Islam Semalaysia semakin meningkat dengan pembohongan dan penipuan berita. Mereka lupa, sebarang pembohongan yang di dapati bohong kesan balikkannya amat mengerikan. Ini mungkin disebabkan mereka berasakan kekuasaan yang didakapi itu akan terpeluk selamanya. Belajarlah daripada sejarah, semakin ditekan seseorang itu semakin kuat memberontaknya, umpama bom jangka. Berubahlah atau Anda Bakal Rebah !!!
Kehebatan dan ketokohan pimpinan Parti Islam Semalaysia khususnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mencairkan kebebalan rakyat terhadap parti tersebut. Rakyat mula merisik dan mendapatkan informasi tentang Kelantan dan pemerintahannya. Strategi dan pendekatan yang digerakkan di negeri Kelantan ternyata amat berbeza dibandingkan pendekatan kerajaan Barisan Nasional. Semua kegiatan yang menjuruskan ke arah kekalutan sosial dihapuskan. Sementara Kerajaan Barisan Nasional masih mengekalkan aktiviti dan kegiatan sedemikian hatta sehingga kini. Ini kerana kegiatan - kegiatan tersebut memberikan sumber ekonomi yang besar kepada "negara". Berubahlah atau Anda Bakal Rebah !!!
Bukan tujuan saya memberikan puji - pujian kepada pemerintahan Parti Islam Semalaysia atau pun memburukkan Kerajaan Barisan Nasional tetapi apa yang dilontarkan adalah kenyataan yang semua rakyat sedia maklumi. Kebenaran tetap selamanya benar meskipun dinafikan seisi dunia. Kroni dan penyalahgunaan kekuasaan telah menjadi kanser yang akhirnya memuntahkan nanahnya pada tahun 2008. Meskipun secara perundangan negara terlepas tetapi penghakiman rakyat telah terlaksana. Rakyat memaklumi, memahami dan mengerti, sekiranya masih didokong kerajaan dan pemimpin yang sebegini, nescaya terjual maruah dan negara. Oleh itu, penghakiman Mahkamah Rakyat telah menyatakan keputusannya. Keputusan 2008. Berubahlah atau Anda Bakal Rebah !!!
Kekuasaan Allah S.W.T. telah dizahirkan dengan terbongkarnya onar dan nanah yang selama ini disembunyikan. Itu pun sudah memadai bagi mereka yang berfikir dan celik hatinya. Tidak tertepis lagi hanya sekadar mampu membuta tuli. Cukuplah dengan segala yang telah terlampau dan bergeraklah dengan segalanya baik mengikut aturan agama Islam dan budaya Melayu. Daulatkan perundangan Islam dengan memberikan autonomi kepada mana - mana kerajaan negeri yang mahu melaksanakannya. Jadikan negeri Kelantan contoh pelaksanaan perundangan Islam supaya tidak perlu lagi berhujah telagah dengan lain - lain. Sesungguhnya contoh yang nyata dapat menjelaskan segalanya tanpa perlu mengeluarkan sepatah kata. Dalam segala aspek pentadbiran dan pemerintahan, negeri Kelantan boleh dijadikan contoh. Berubahlah atau Anda Bakal Rebah !!!

Khamis, 9 April 2009

Tahniah Untuk Perdana Menteri Malaysia ke 6

Ucapan tahniah buat Dato' Seri Najib Tun Razak atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6. Semoga dengan pelantikan ini, beliau akan dapat memacu negara Malaysia tercinta ke arah yang lebih baik, harmonis, dan maju.
Barisan Kabinet yang terbentuk pastinya akan mampu membantu dan seterusnya menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan lebih dedikasi. Tiada harapan lain sebagai rakyat biasa melainkan kesejahteraan dan kemakmuran berterusan negara akan dapat dinikmati dengan adil dan saksama.
Bagi memastikan pelaksanaan perancangan dapat dijalankan dengan lebih berjaya, birokrasi pentadbiran dan kerenah pegawai pelaksana perlu diberi perhatian. Pembaharuan dalam pengurusan pentadbiran awam akan pasti dapat menggerakkan pelaksanaan perancangan pembangunan negara dengan lebih mampan. Hendaknya sebagai Perdana Menteri, Dato' Seri perlu memastikan kelancaran dan ketepatan masa dalam pelaksanaan perancangan pembangunan diberi keutamaan. Tidak akan berjaya sesuatu program sekiranya bahagian pelaksanaan tidak jujur, komited dan bersungguh - sungguh.
Dasar pendidikan perlu dirombak dan penekanan perlu diberi kepada penghayatan asal usul bangsa Malaysia, nilai - nilai keagamaan, dan pengetahuan terkini serta ketahanan diri dalam menghadapi cabaran - cabaran global. Asas - asas pertahanan diri perlu diutamakan. Ini dapat membentuk nilai dan jati diri rakyat. Disiplin diri adalah nadi utama ke arah kejayaan dan kemakmuran negara. Disiplin ini boleh dibentuk melalui penghayatan sejarah, melalui nilai - nilai seni pertahanan diri, dan nilai - nilai keagamaan. Asas ini dapat mencegah masalah moral seperti sekarang yang banyak terjadi.
Dengan disiplin diri, perkara - perkara mustahil akan mampu dilakukan dan negara pastinya akan bergerak ke hadapan dengan lebih cemerlang.