Khamis, 17 Jun 2010

Francais...adakah anda mesti memilihnya?

Ramai yang terpesona bila francais diperkatakan atau sekurang - kurangnya berminat untuk memilikinya. Sebelum anda memohon untuk francais, perlulah diteliti beberapa perkara. Kebiasaannya mereka yang ingin memohon francais gagal meneliti atau pun mempertimbangkan perkara - perkara ini, dan akhirnya perniagaan mereka tidak berjaya. Kegagalan anda mempertimbangkannya adalah merupakan kegagalan anda yang pertama sebelum memulakan perniagaan.

Apakah perkara - perkara tersebut. Saya akan mengetengahkan beberapa perkara pokok sahaja dan selebihnya perlulah anda sendiri menelusurinya. Perkara - perkara tersebut ialah :

1. Tujuan anda berniaga.
Anda berniaga semestinya inginkan keuntungan. Tiada individu yang berniaga hanya untuk mendapat kerugian. Perlu diingat, bahawa francais tidak semestinya membawa keuntungan dan jaminan keuntungan berterusan.Ini kerana keuntungan bukannya terletak kepada faktor francais semata - mata tetapi banyak faktor perlu diambil kira dan diberi perhatian.

2. Jenis perniagaan yang dipilih.
Bentuk perniagaan yang dipilih adalah menentukan arah perjalanan perniagaan anda. Sebaiknya perniagaan yang dijalankan hendaklah dalam lingkungan kemahiran dan pengetahuan anda. Sekiranya memilih francais, pastikan perniagaan tersebut hanya boleh didapati melalui sistem francais sahaja. Sekiranya perniagaan tersebut juga boleh dijalankan tanpa melalui sistem francais, maka pemilihan yang dibuat tidak tepat. Contoh, francais kaca mata tidak diperlukan oleh anda memandangkan perniagaan kaca mata boleh dilakukan tanpa perlu melalui sistem francais. Dengan kos RM250k untuk memulakan francais kaca mata, amatlah tidak masuk akal memandangkan perniagaan tersebut boleh dimulakan dengan hanya bermodalkan RM60K hingga RM100k sahaja.

3. Pengurusan francais.
Sekiranya anda ingin menggunakan francais sebagai landasan perniagaan anda, anda perlu mengkaji sistem pengurusan yang dijalankan oleh francaisor. Jangan mudah tertipu dengan kemashyuran nama francaisor atau juga dengan banyaknya bilangan premis perniagaan tersebut. Anda perlu mendapatkan maklumat - maklumat dalaman berkenaan pengurusannya. Cara terbaik ialah bertanyakan kepada individu yang telah menggunakan sistem francais tersebut. Kedapatan pemegang - pemegang francais diabaikan kerana kelemahan pengurusan francaisor. Ini yang perlu dielakkan oleh mereka yang ingin memilih francais sebagai landasan perniagaan.

4. Terma dan syarat francais.
Terma dan syarat yang dikemukakan oleh francaisor perlu diteliti dengan sebaiknya. Perkara - perkara berkenaan dengan promosi dan maintanance perlu dibincangkan dengan lebih teliti. Ini kerana faktor promosi adalah penting bagi memperkenalkan sesuatu premis perniagaan. Promosi yang dijalan umpama melepaskan batuk ditangga hendaklah dielakkan. Faktor maintanance juga perlu diberi perhatian. Kebiasaannya, kerosakan yang berlaku mengambil masa yang panjang oleh francaisor untuk membetulkannya. Ini akan menjejaskan perniagaan tersebut.

5. Barangan yang dibekalkan.
Barangan yang dibekalkan perlu diteliti daripada segi kualiti dan harganya. Ini kerana barangan tersebutlah yang akan diniagakan dipremis perniagaan. Sekiranya barangan yang dibekalkan rendah kualitinya dan harganya pula tinggi, maka perniagaan tersebut tidak akan bertahan lama. Pengguna akan beralih ke premis perniagaan yang lain. Akhirnya, perniagaan anda akan rugi dan anda akan menanggung hutang pinjaman perniagaan berseorangan kerana francaisor tidak bertanggungjawab untuk itu.



Oleh itu, sebelum memilih untuk francais lihatlah dengan sebaiknya kerana pengamatan yang tajam akan menjernihkan masa depan.