Khamis, 9 April 2009

Tahniah Untuk Perdana Menteri Malaysia ke 6

Ucapan tahniah buat Dato' Seri Najib Tun Razak atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6. Semoga dengan pelantikan ini, beliau akan dapat memacu negara Malaysia tercinta ke arah yang lebih baik, harmonis, dan maju.
Barisan Kabinet yang terbentuk pastinya akan mampu membantu dan seterusnya menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan lebih dedikasi. Tiada harapan lain sebagai rakyat biasa melainkan kesejahteraan dan kemakmuran berterusan negara akan dapat dinikmati dengan adil dan saksama.
Bagi memastikan pelaksanaan perancangan dapat dijalankan dengan lebih berjaya, birokrasi pentadbiran dan kerenah pegawai pelaksana perlu diberi perhatian. Pembaharuan dalam pengurusan pentadbiran awam akan pasti dapat menggerakkan pelaksanaan perancangan pembangunan negara dengan lebih mampan. Hendaknya sebagai Perdana Menteri, Dato' Seri perlu memastikan kelancaran dan ketepatan masa dalam pelaksanaan perancangan pembangunan diberi keutamaan. Tidak akan berjaya sesuatu program sekiranya bahagian pelaksanaan tidak jujur, komited dan bersungguh - sungguh.
Dasar pendidikan perlu dirombak dan penekanan perlu diberi kepada penghayatan asal usul bangsa Malaysia, nilai - nilai keagamaan, dan pengetahuan terkini serta ketahanan diri dalam menghadapi cabaran - cabaran global. Asas - asas pertahanan diri perlu diutamakan. Ini dapat membentuk nilai dan jati diri rakyat. Disiplin diri adalah nadi utama ke arah kejayaan dan kemakmuran negara. Disiplin ini boleh dibentuk melalui penghayatan sejarah, melalui nilai - nilai seni pertahanan diri, dan nilai - nilai keagamaan. Asas ini dapat mencegah masalah moral seperti sekarang yang banyak terjadi.
Dengan disiplin diri, perkara - perkara mustahil akan mampu dilakukan dan negara pastinya akan bergerak ke hadapan dengan lebih cemerlang.