Ahad, 21 Jun 2009

Kerajaan Perpaduan Dan Perpaduan Melayu...Satu Penilaian

Isu yang paling hangat di dada akhbar dan kaca televisyen adalah berkenaan Kerajaan Perpaduan. Ada yang menerima dan sedia menerima tetapi juga ada juga yang menentang idea pembentukan Kerajaan Perpaduan. Apa pun alasan dan hujah, masing - masing mempunyai fakta dan pengalaman tersendiri berkenaan cadangan Kerajaan Perpaduan.


Bagi Mursyidul Am Pas, pengalaman ketika bersama kerajaan campuran dengan BN ( UMNO ) satu ketika dahulu sudah cukup memberikan satu sentuhan pahit dan pengajaran yang membentuk arah pemikiran dan gaya tindakan beliau dewasa ini. Ada benarnya reaksi yang ditunjukkan sedemikian. Pas pernah bersama Umno dan kemudiannya dihalau keluar dari pakatan tersebut. Bagi mereka yang pernah melalui era itu, kesannya cukup menyentuh lubuk pemikiran sehingga membentuk gaya pemikiran dan tindakan yang tidak terjangkakan.


Sekiranya diamati dengan mendalam, perkataan perpaduan itu sudah cukup memberikan satu harapan kepada perpaduan bangsa Melayu. Perkataan keramat yang tidak pernah bangsa Melayu zahirkannya kepada dunia. Melayu sememangnya tidak pernah bersatu meskipun ada segolongan sejarahwan berhujah bersatunya Melayu pada menuntut kemerdekaan negara.Fakta yang disandarkan kepada kesepakatan golongan aristokrat dalam mencorak dan menjaga kepentingan mereka.Dan pada pendapat saya, itu bukan kesepaduan atau pun perpaduan sebenar.


Satu persoalan kerap berlegar - legar dalam kepala saya, Mengapa hanya sekarang BN ( Umno ) bersedia untuk duduk semeja dan berbincang dengan Pas sedangkan sebelum ini tidak pernah bersahut pun seruan itu.Mengapa Pas yang sedang menuju kepuncak politiknya dalam sejarah bangsa mahukan perpaduan dengan Umno. Persoalan - persoalan ini perlu dirungkaikan sebelum kita semua membuat keputusan yang seterusnya. Satu persoalan yang begitu menarik untuk dirungkaikan jawapannya.


Tidak sukar untuk meneka mengapa Umno bersedia duduk semeja dengan Pas memandangkan pengembala kambing pun boleh memberikan jawapannya.Tetapi yang menjadi persoalannya mengapa seseorang yang sedang menang dalam pertarungannya mencadangkan untuk berdamai sedang peperangan itu tidak dimulakannya.Sepatutnya Pas memastikan kemenangan dahulu kemudian barulah boleh menawarkan kepada Umno untuk bergabung dan bersatu padu dengan mereka.Ini barulah boleh dikatakan bersatu dengan ikhlas kerana mereka sedang berada dipuncak kuasa dan bersedia merendah diri untuk perpaduan bukannya seperti apa yang berlaku sekarang.
Dari segi politik, adalah tidak bijak untuk duduk semeja memandangkan 'kuasa tekanan' tidak berada dalam genggaman.Mengapa pemimpin tertinggi Pas bertindak sedemikian menjadi satu persoalan. Ini kerana mustahil pemimpin Pas tidak sedar dengan tindakan mereka menyerah dikala kemenangan hanya selangkah perjalanan saja.Atau mungkin ada tekanan dan agenda - agenda tertentu yang biasa terjadi dalam politik tanah air iaitu peranan golongan 'belakang tabir'. Satu lagi persoalan yang cukup menarik untuk dirungkaikan.